Written by A Kadir Jadsin
April 11, 2008
KHABAR awal yang belum disahkan menunjukkan Umno Kedah dan Pulau Pinang mahu Presiden mereka, Abdullah Ahmad Badawi, mengundurkan diri secepat mungkin kerana kekalahan teruk parti itu pada 8 Mac lalu.
Mereka juga menyalahkan Ketua Perhubungan dan Timbalan Ketua perhubungan negeri masing-masing dan mahu mereka turut mengundurkan diri.
Khabarnya, percubaan beberapa orang pemimpin bahagian mempertahankan Abdullah telah diejek (diboo) oleh yang hadir.Semua ini berlaku ketika penyiasatan pasca-pilihan raya diadakan di Kedah dan Pulau Pinang semalam (10 April) dengan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak.
Turut mewakili Majlis Tertinggi dalam perjumpaan itu adalah Naib Presiden Muhyiddin Yassin dan Mohd Ali Rustam, Ketua Wanita Rafidah Aziz, Setiausaha Agung Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Muhammad Muhd Taib, Ketua Puteri Noraini Ahmad and Ketua Putera Abdul Azeez Abdul Rahim.
Antara keputusan dan pandangan lain yang dikatakan terbit daripada biopsi (saya sengaja tidak mengguna pakai istilah bedah siasat (post-mortem) sebab Umno tidak mati atau belum mati) itu adalah:
1. Abdullah wajar diberikan masa dan kaedah pengunduran yang terhormat;
2. Pengunduran diri beliau sebagai ketua parti dan ketua kerajaan perlu berlaku sebelum perhimpunan agung dan pemilihan Umno Disember ini;
3. Mohd Najib dicadangkan sebagai calon Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden tetapi tidak menghalang orang lain daripada dicalonkan; dan
4. Tidak menyekat kegiatan atau menyerang bekas Presiden dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah, menurut laporan laman berita bebas Internet, Malaysiakini, sesetengah wakil bahagian menyebut bahawa selama 22 tahun pemerintahannya, Dr Mahathir “tidak pernah menyebabkan BN dan Umno kalah seteruk pada pilihan raya baru lalu.”
Sementara itu, sumber-sumber lain yang rapat dengan Umno mengatakan bahawa Persatuan Bekas-Bekas Wakil Rakyat Umno (Mubarak) dan Kelab Bekas-Bekas Menteri Umno juga sudah menghantar petisyen meminta Abdullah mengundurkan diri daripada memimpin parti dan negara.

No comments:
Post a Comment